2 anggota polis ditahan terbabit kes pemerasan

Nasional

Oleh: Zuliaty Zulkiffli

BALING: Dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, tangkapan itu susulan laporan polis dibuat seorang wanita warga emas berusia 74 tahun pada jam 1.15 pagi, Sabtu lalu, berkaitan anak lelakinya mendakwa ditahan dua anggota polis berusia 24 dan 27 tahun serta diminta membayar RM200 untuk mendapatkan kembali telefon bimbit.

“Ketika hendak menyerahkan wang itu, anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri. Warga emas itu menghubungi Klinik Kesihatan Parit Panjang, namun petugas mengesahkan anaknya telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Salimi berkata, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bergegas ke rumah mangsa pada jam 11.30 malam Sabtu lalu untuk siasatan awal, dan mendapati tiada kesan kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat, yang mengesahkan lelaki itu meninggal dunia akibat serangan jantung mendadak (Acute Myocardial Infarction) tanpa sebarang unsur jenayah.

Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan, dan kedua-dua anggota polis yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah serta ujian air kencing mereka bebas dadah.

“Kedua-dua suspek direman dua hari untuk membantu siasatan. Kertas siasatan tatatertib juga dibuka bagi memastikan siasatan terperinci dijalankan,” katanya.

Ahmad Salimi menegaskan siasatan dilakukan untuk memberikan keadilan dan memastikan tindakan tegas diambil mengikut undang-undang terhadap mana-mana anggota polis yang terlibat dalam kes pemerasan.

Scroll to Top