2 kereta hangus, 5 mangsa cedera dalam nahas di lebuh raya

Nasional

Oleh: Izz Laily Hussein

KOTA TINGGI: Lima individu dilaporkan cedera, dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 56, Lebuhraya Senai-Desaru di sini, hari ini.

Dua daripada kenderaan terbabit dilaporkan terbakar.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.25 pagi sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kejadian, kami mendapati berlaku kebakaran membabitkan dua daripada tiga kereta yang terbabit dalam kemalangan.

“Lima mangsa dilaporkan cedera, namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

“PKO kemudian bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman ketika dihubungi mengesahkan kemalangan yang berlaku.

Bagaimanapun, katanya, pegawai penyiasat masih di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Scroll to Top