Nasional

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
MARANG: Bencana banjir yang melanda negeri ini menyebabkan kampung dan jalan ditenggelami banjir dan ada penduduk yang tidak dapat keluar untuk ke pusat pemindahan berikutan laluan ke jalan utama dinaiki air.
Kesulitan itu turut merencatkan tugasan dua wartawan Media Prima, Mohammad Nazdy Harun dan Zaid Salim apabila kawasan rumah dipenuhi air sekaligus menghalang mereka untuk keluar ke jalan utama.
Mereka berkata, banjir di kawasan mereka lebih kepada banjir kilat disebabkan hujan lebat dan bukannya limpahan air sungai atau tali air.
Mohammad Nazdy yang tinggal Kampung Durian Tinggi, Bukit Payung, berkata, kediamannya yang berada di kawasan rendah menyebabkan laluan sering ditenggelami air apabila tiba musim tengkujuh.
“Jalan ini menjadi laluan utama penduduk kampung untuk keluar jalan besar. Sebelum ini pernah tenggelam tetapi tidak dalam dan masih boleh dilalui samada motosikal atau kereta.
“Tetapi kali ini hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi menyebabkan paras air naik sehingga mencecah lebih 0.5 meter.
“Walaupun ada penduduk yang cuba meredah tetapi bahaya kerana arus deras berikutan laluan itu mempunyai alur sungai,” katanya.
Zaid Salim yang turut terkesan akibat banjir berkata, kediamannya yang berada di kawasan rendah sering dinaiki air, namun banjir kali ini agak berbeza dan air sudah mencecah lantai rumah.
“Saya tinggal di sini sudah lebih 40 tahun, ini kali kedua saya berdepan banjir seperti ini. Kali pertama pada tahun lalu.
“Sekiranya hujan reda, kemungkinan air akan cepat surut” katanya.

