3 lelaki ditahan menyamar polis, samun guna pistol tiruan

Jenayah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki ditahan di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam kerana disyaki melakukan samun menggunakan senjata api tiruan dan menyamar sebagai anggota polis, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal Balai Polis Pantai membuat rondaan dan terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, seorang daripada lelaki tempatan itu telah melaporkan bahawa tiga suspek mengacukan sepucuk pistol serta merampas kad pengenalan, telefon bimbit dan dompet miliknya.

“Suspek kemudian cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal namun berjaya ditahan oleh pasukan polis yang bertindak pantas di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sepucuk pemetik api berbentuk pistol, telefon bimbit, dompet dan beg milik mangsa berusia 17 tahun, serta dua motosikal yang digunakan suspek berusia 26 hingga 35 tahun.

Menurut Chang Hook, kumpulan itu menyasarkan penunggang motosikal atau individu bersendirian dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan telah aktif sejak enam bulan lalu.

Suspek mengugut untuk membawa mangsa ke balai polis jika enggan menyerahkan wang tunai atau barangan peribadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk masih dikehendaki berkaitan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Scroll to Top