3 warga asing dalang pecah rumah ditahan, pernah sasar kediaman Tan Sri

Oleh: Eisya Nabila Suthikman

PUTRAJAYA: Tiga lelaki warganegara asing ditahan dalam Operasi Pintu Putra selepas disyaki terlibat dalam siri pecah rumah di Presint 11 dan Presint 14, Putrajaya pada 28 November lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, tangkapan dibuat pada jam 8.30 malam dan dua daripada suspek memiliki pasport sah manakala seorang lagi masih dalam pemeriksaan.

“Mereka mengumpil pintu belakang (kediaman) dan memasuki bilik utama bagi mendapatkan barang kemas dan wang tunai antara jam 8 hingga 10 malam.

“Ketiga-tiga suspek ditahan ketika sedang memecah masuk sebuah kediaman. Berlaku pergelutan dengan anggota polis sebelum mereka berjaya diberkas,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, polis turut menahan seorang lagi suspek yang menunggu di dalam sebuah kenderaan kira-kira 300 meter dari lokasi sasaran.

Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati ia didaftarkan atas nama seorang warga China namun tiada sebarang rekod kehilangan membabitkan kenderaan itu.

“Pemeriksaan menemui alat pemotong, ‘hydraulic spreader’, besi pencungkil serta pakaian yang dipercayai dipakai suspek dalam beberapa kejadian pecah rumah sebelum ini,” katanya lagi.

Menurut beliau, laporan diperoleh hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada makluman diterima daripada penduduk terdekat.

“Siasatan awal mendapati, kumpulan itu aktif sejak tiga bulan lalu dan menyasarkan rumah jenis Semi-D dan banglo ketika penghuni tiada di rumah.

“Jumlah kerugian bagi setiap rumah dianggarkan antara RM20,000 hingga RM50,000,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, polis turut mendedahkan, kumpulan sama juga pernah terlibat dalam cubaan memecah masuk kediaman seorang individu yang bergelar Tan Sri di sekitar lokasi sama pada 11 November lalu.

Bagaimanapun usaha itu gagal selepas kesemua mereka melarikan diri sejurus selepas alat penggera keselamatan berbunyi dalam kejadian itu.

Setakat tahun ini, sebanyak 26 kes pecah rumah direkodkan di Putrajaya dan ia menyaksikan peningkatan kes berbanding tahun sebelumnya.

Sebahagian besar suspek yang terlibat kes tahun lalu merupakan warga tempatan yang menyasarkan kediaman jenis apartment.

Ketiga-tiga suspek direman selama empat hari bermula 29 November.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Scroll to Top