Dunia

PESHAWAR: Tiga anggota pasukan paramilitari Pakistan maut dalam serangan bunuh diri di Ibu Pejabat Pasukan Keselamatan di Peshawar pada awal pagi Isnin, menurut polis kepada AFP.
Ketua Polis Peshawar, Mian Saeed, berkata serangan berlaku pada 8.10 pagi di pintu masuk ibu pejabat Federal Constabulary (FC) di Jalan Saddar antara laluan paling sibuk di bandar itu.
“Tiga anggota FC yang bertugas di pintu pagar terkorban dan empat lagi cedera. Seorang penyerang meletupkan diri manakala dua lagi ditembak mati oleh pasukan keselamatan,” katanya.
Lokasi Dipenuhi Serpihan, Operasi Pembersihan Masih Berjalan
Seorang wartawan AFP melaporkan melihat anggota tubuh dipercayai milik pengebom berhampiran pintu utama yang dipenuhi kesan serpihan.
Ketua Polis Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Zulfiqar Hameed, mengesahkan operasi pembersihan masih dijalankan.
“Serangan berjaya ditamatkan. Operasi sedang berlangsung bagi memastikan tiada bahan letupan yang belum meletup,” katanya.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengecam serangan itu dan memuji tindakan pantas pasukan keselamatan yang berjaya menghalang jumlah kematian lebih besar.
“Mereka yang bertanggungjawab mesti dikenal pasti segera dan dibawa ke muka pengadilan.Kita akan menggagalkan rancangan jahat pengganas yang cuba menggugat keselamatan Pakistan,” katanya. AGENSI

