8 rumah rosak akibat ribut di Raub

Lapan rumah di tiga kawasan sekitar Raub rosak akibat ribut yang melanda petang tadi. – Foto APM

Oleh: Amir Hamzah Nordin

RAUB: Lapan rumah di tiga kawasan sekitar daerah ini rosak dilanda ribut petang tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, ribut berlaku kira-kira jam 3 petang membabitkan kawasan Kampung Melayu Sempalit, Taman Amalina Lestari serta Jalan Lipis.

Ia menyebabkan beberapa rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung hadapan, bilik tidur dan dapur, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Katanya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Raub telah digerakkan ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut, membantu kerja-kerja pembersihan serta menyerahkan kit makanan kepada mangsa yang terlibat.

Seramai 25 mangsa daripada lapan keluarga terjejas, terdiri daripada dua warga emas wanita, empat wanita dewasa, tujuh lelaki dewasa, lima kanak-kanak perempuan dan tujuh kanak-kanak lelaki.

Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, memandangkan semua keluarga masih boleh menetap di kediaman masing-masing.

JPBD Raub memaklumkan bantuan susulan akan diselaras bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi utiliti sekiranya diperlukan.

Operasi pemantauan dan pembersihan selesai dijalankan sekitar jam 9.30 malam.

Sementara itu, penduduk Belakang Thong Fatt, Jalan Lipis, Saravanan Kumar Muniandi, 43, berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu menonton televisyen manakala ayahnya, Muniandy Kaju, 70, berada di dapur.

“Saya terdengar deruan angin kuat di luar rumah disusuli hujan lebat. Tiba-tiba pokok kelapa tumbang menimpa bumbung bahagian dapur dan stor di belakang rumah.

“Pokok itu tumbang kira-kira dua meter daripada tempat ayah berdiri, mujur dia sempat berlari ke ruang tamu,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, kakitangan Majlis Daerah Raub, Nor Haffizah Samsudin, 42, yang menetap di Taman Amalina Lestari, berkata, sebelum kejadian ribut, hujan lebat menyebabkan bumbung zink di tempat letak kereta rumahnya bergoyang kuat.

“Ketika saya berada di bahagian dapur untuk membasuh pakaian, tiba-tiba satu hentaman kuat berlaku apabila sebatang besi, iaitu tiang bumbung zink tempat letak kereta, ‘mencucuk’ bumbung atap genting bahagian dapur hingga pecah.

“Saya ketika itu berseorangan dan jarak antara tiang yang mencucuk itu kira-kira tiga meter. Saya bersyukur anak tiada di rumah ketika itu kerana mereka berada di sekolah,” katanya.

Scroll to Top