
KUALA LUMPUR: 80 murid di sebuah sekolah di Selangor yang gagal menduduki ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025, dibenarkan untuk menduduki peperiksaan itu di sekolah berdaftar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, dalam kenyataan bersama hari ini, memaklumkan penyelesaian itu dicapai selepas beberapa sesi semakan serta libat urus diadakan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak sekolah terbabit.
“Hasil perbincangan bersama, pihak JAIS telah bersetuju memberikan kebenaran khas kepada kesemua 80 murid terbabit untuk menduduki UPKK Tahun 2025, dengan beberapa penyelarasan termasuk JAIS akan mendaftarkan kesemua murid untuk tujuan Sistem Pendaftaran Calon UPKK.
“Semua murid akan mengambil peperiksaan di pusat peperiksaan yang berdaftar (sekolah tumpang); dan peperiksaan lisan untuk 3 mata pelajaran yang telah selesai akan diaturkan selepas peperiksaan bertulis,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, pihak sekolah turut memberikan komitmen untuk segera melengkapkan proses pendaftaran rasmi mengikut garis panduan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988, manakala JAKIM dan JAIS akan terus memantau pelaksanaannya agar berjalan lancar mengikut SOP peperiksaan.
Kerajaan turut merakam penghargaan kepada ibu bapa dan sekolah atas kerjasama serta kesabaran diberikan sepanjang proses penyelesaian berlangsung.
Namun, kerajaan mengingatkan bahawa institusi pendidikan Islam yang masih beroperasi tanpa pendaftaran dengan pihak berkuasa agama negeri akan dikenakan tindakan tegas.

