
Oleh: Amirul Fazli Zulkafli
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki utama, Aaron Chia menyatakan dirinya bersedia untuk berpisah seketika dengan pasanganya, Soh Wooi Yik jika diperlukan untuk membentuk gandingan baharu di Sukan Sea Thailand nanti.
Menurut Aaron, meskipun sudah lama beraksi dengan Wooi Yik dan mempunyai kesefahaman tinggi tetapi dia terbuka jika jurulatih ingin menggandingkan dirinya dengan pemain lain.
Katanya, temasya dwitahunan itu tidak akan menjejaskan kedudukan mereka selaku pasangan kedua dunia kerana Sukan Sea tidak menawarkan mata buat pemain yang bertanding.
“Saya pun harap dekat Sukan Sea nanti kita boleh cuba pasangan berbeza (scratch pair) dan tengok bagaimana hasilnya. Memang sudah ada perbincangan dengan jurulatih.
“Lagipun, Sukan Sea bukan kejohanan yang menawarkan mata ranking, jadi ia satu pentas sesuai untuk kita cuba benda baharu,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Selain itu, Aaron-Wooi Yik yang pernah memenangi pingat emas di Sukan Sea Filipina 2019 berpendapat pentas itu adalah masa paling sesuai untuk mencuba pasangan baharu kerana ia juga sebagai persediaan menjelang Piala Thomas tahun hadapan.
Bekas juara dunia 2022 juga melihat tidak mustahil dia akan disatukan sama ada dengan satu lagi pasangan lelaki negara, Man Wei Chong atau Tee Kai Wun namun semua itu keputusan pihak pengurusan.
“Kadang-kadang scratch pair ni boleh jadi lagi kuat. Lawan pun sukar nak jangka. Ia boleh jadi satu kelebihan buat pasukan juga kan.
“Siapa pun sama saja dan saya yakin untuk bergandingan dengan sesiapa pun. Yang penting sasaran kita adalah pingat emas. Kita akan usaha sehabis baik.
“Contohnya seperti Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, mereka pun pada asalnya merupakan scratch pair, tetapi akhirnya berjaya menjadi gandingan mantap dan beri kejutan kepada lawan,” katanya.

