Aceh Utara dinaiki air setinggi 5 meter

Anggota penyelamat memindahkan seorang warga emas menggunakan bot getah ketika banjir di Medan, Sumatera Utara pada 28 November 2025.
Anggota penyelamat memindahkan seorang warga emas menggunakan bot getah ketika banjir di Medan, Sumatera Utara pada 28 November 2025.

MEDAN: Sepanjang minggu lalu, banjir melanda Aceh Utara dengan paras air mencecah satu hingga lima meter (m), menyukarkan sukarelawan menyelamatkan mangsa yang terperangkap di pelbagai lokasi.

Memetik laporan Kompas, sukarelawan melakukan usaha menyelamat termasuk membantu penduduk yang terperangkap di rumah, dan mereka yang hanyut di sungai.

Difahamkan, cabaran lain termasuk kesukaran membawa bekalan makanan ke beberapa pusat pemindahan.

Susulan itu, kesemua bot dan perahu nelayan dikerahkan ke lokasi terjejas.

Sukarelawan Palang Merah Indonesia (PMI) Aceh Utara, Taufik berkata, mereka bersyukur dapat menyelamatkan seorang penduduk yang hanyut di Sungai Bungkah, Mukim Muara Batu, semalam.

Media turut melaporkan, PMI hanya mempunyai satu bot, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menyelamatkan kesemua mangsa.

“Kesemua sukarelawan bekerja 24 jam untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa, termasuk yang terperangkap di bumbung rumah dan di tingkat dua kedai,” kata Taufik.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Sosial Daerah Aceh Utara, Fakhrurradhi mengakui, cabaran yang dihadapi pasukannya untuk mencapai gudang yang terkesan dengan banjir.

“Gudang tidak terjejas, tetapi jalan menuju gudang yang terkesan dan arus air terlalu deras untuk dilalui,” jelasnya.

Beliau menambah, pasukannya tetap bersiap sedia dan memantau paras air, sambil berjanji mengedarkan makanan sebaik sahaja keadaan mengizinkan.

Fakhrurradhi turut berharap, masyarakat memahami kesukaran yang dihadapi sukarelawan.

“Kami sudah bekerja secara maksimum 24 jam dalam keadaan banjir ini,” ujarnya.

Terdahulu, banjir melanda beberapa daerah di Aceh, termasuk Aceh Timur, Bandar Lhokseumawe, Bireuen, Langsa, Pidie, Pidie Jaya dan Aceh Utara.

Scroll to Top