Ajid Ababil, GET hidap kanser tekak tahap empat

Ajid (tengah) menerima kunjungan abang tirinya, Kid.

Oleh: Ridzuan Abdul Rahman

KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan rock era 1990-an, Ababil (Bil) dan Gabungan Empat Tenaga (GET), Ajid disahkan menghidap kanser tekak tahap empat sejak Ogos lalu.

Ajid atau nama sebenarnya, Syed Hazid Syed Abdullah, 56, sepatutnya menjalani prosedur menebuk lubang pada bahagian tekak di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, hari ini.

Bagaimanapun, Ajid berkata, dia mengambil keputusan membatalkan prosedur itu memandangkan bimbang akan berdepan pelbagai risiko lain.

“Sepatutnya lubang akan ditebuk di bahagian halkum disebabkan ruang pernafasan saya tinggal sedikit sahaja. Satu lagi, kalau buat pembedahan, dia akan potong rangka pipi dengan lidah.

“Untuk makan, minum, semua sudah guna tiub di tempat yang ditebuk. Lepas itu, peti suara sudah tak boleh guna lagi. Kalau yang tebuk ini pun, sama juga kesan dia nanti.

“Doktor kata saya kena makan minum melalui tiub dalam tempoh lapan bulan hingga setahun. Saya pun fikir, sekarang ini kita sakit… memang sakit tekak ini sampai malam tak dapat tidur,” katanya kepada Harian Metro.

Ajid yang tinggal di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, berkata doktor ada memberikan ubat tahan sakit sebelum ini, tetapi tidak memberi kesan.

“Saya tak nak susahkan sesiapa. Kalau kita buat macam itu, peratus untuk saya nak berjalan sudah tiada lagi. Jadi mesti, sekurang-kurangnya isteri dan anak-anak yang kena jaga 24 jam.

“Nanti takut lampin pakai buang pun kena pakai. Semua itu kos. Itu risiko selepas pembedahan. Saya sudah fikir dan bincang dengan isteri sebelum buat keputusan tolak (pembedahan).

“Semua ini adalah kerana ketentuan Allah. Kehidupan memang ada ujian. Kita cuma ambil pandangan dengan cuba buat rawatan alternatif ataupun rawatan Islam,” katanya.

Mengulas berkenaan kanser tekaknya, Ajid berkata, ia mula dikesan apabila dia berasa seperti ada sesuatu dalam tekaknya sejak Ogos lalu dan doktor mengatakan ia hanya masalah tonsil.

“Hujung Oktober lalu, saya bertemu doktor untuk kali ketiga dan barulah mereka sahkan ada ketumbuhan dan perlu menjalani semua prosedur yang ditetapkan.

“Saya sepatutnya akan terbabit dengan persembahan di Pasir Gudang pada 24 Disember ini, poster pun sudah naik tapi nampaknya saya hanya akan jadi penonton nanti,” katanya.

Ajid berkahwin dengan Yus Intan Liana Yusuf, 40-an dan dikurniakan tiga anak berusia 13, 10 dan lapan tahun.

Sebelum ini, isterinya mengambil tempahan membuat kek dari rumah, namun pendapatan keluarga berkenaan terjejas apabila Ajid disahkan sakit.

Orang ramai terutama peminat yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7624699591 atas nama Syed Hazid Syed Abdullah bagi meringankan beban keluarga ini.

Scroll to Top