Amorim gilap Mainoo secara intensif, buru tempat dalam kesebelasan utama

MANCHESTER: Ruben Amorim memberi latihan intensif kepada pemain tengah yang semakin tenggelam, Kobbie Mainoo, dalam usaha menghidupkan semula kariernya di Manchester United.

Graduan akademi The Red Devils itu kini berada di belakang Casemiro dan Bruno Fernandes dalam hierarki pilihan jurulatih Portugal berkenaan, apabila kedua-dua bintang itu lebih diutamakan di bahagian tengah.

Namun, Amorim tetap mengagumi kepantasan, kecerdasan bola sepak serta kemahiran dimiliki Mainoo, selain mencabar pemain itu untuk tampil lebih baik.

Mainoo kini digilap secara intensif di pusat latihan Carrington bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama, dengan Amorim memberi tumpuan terhadap aspek bertahan dan taktikal pemain berusia 20 tahun itu.

Amorim melihat Mainoo sebagai pilihan berguna di posisi tengah bertahan dalam situasi tertentu, malah dia banyak berbincang dengan pemain muda itu mengenai komitmen bertahan.

Jurulatih United itu juga tidak menolak kemungkinan menurunkan Mainoo bergandingan bersama Fernandes di bahagian tengah.

United bakal kehilangan Casemiro bagi perlawanan menentang Brentford esok, selepas pemain Brazil itu dilayangkan kad merah ketika menentang Chelsea minggu lalu.

Manuel Ugarte dilihat sebagai pengganti paling hampir, tetapi Mainoo dilaporkan cukup terdesak untuk merebut peluang, memandangkan dia masih belum membuat penampilan kesebelasan utama dalam aksi Liga Perdana musim ini.

Setakat ini, Mainoo hanya membuat tiga penampilan liga dari bangku simpanan dan belum pasti sama ada namanya akan disenaraikan ketika berdepan Brentford.

Musim panas lalu, pemain muda England itu turut mendesak untuk meninggalkan United bagi mendapatkan minit permainan tetap demi menghidupkan peluang kembali ke skuad kebangsaan.

Namun, pengurusan kelab enggan melepaskannya walaupun secara pinjaman, dan kini Mainoo berusaha keras menempatkan dirinya semula dalam skuad utama.

Peluangnya mungkin hadir hujung minggu ini, tetapi masih menjadi persoalan sama ada Amorim benar-benar yakin dia mampu menyerlah bersama Fernandes dalam formasi 3-4-3/3-2-4-1 kegemarannya.

Scroll to Top