Angka korban banjir Vietnam meningkat 90 orang

Dunia

Foto dirakam pada 20 November 2025 menunjukkan penduduk meredah banjir di Nha Trang, wilayah pesisir Khanh Hoa, Vietnam

HANOI: Angka korban akibat banjir besar yang melanda Vietnam meningkat kepada 90 orang manakala 12 lagi masih hilang.

Ia disahkan oleh Kementerian Alam Sekitar negara itu hari ini, selepas hujan lebat yang berlaku beberapa hari lalu dan kejadian tanah runtuh.

Dalam satu kenyataan kementerian berkenaan berkata, lebih 60 kematian dicatatkan sejak 16 November lalu di wilayah pergunungan Dak Lak, tengah Vietnam, dengan puluhan ribu rumah ditenggelami banjir.

Hujan tanpa henti melanda bahagian selatan-tengah Vietnam sejak akhir Oktober, dengan destinasi pelancongan popular turut mengalami beberapa gelombang banjir.

Beberapa bahagian bandar di kawasan pesisir Nha Trang ditenggelami air minggu lalu, manakala tanah runtuh mengorbankan nyawa di laluan pergunungan sekitar pusat pelancongan Da Lat.

Beberapa lokasi di lebuh raya masih terhalang akibat banjir atau tanah runtuh hari ini, manakala operasi beberapa laluan kereta api masih dihentikan.

Lebih 129,000 pengguna masih tiada elektrik, selepas lebih sejuta pengguna terputus bekalan minggu lalu.

Kementerian Alam Sekitar Vietnam menganggarkan kerugian ekonomi akibat banjir di lima wilayah mencecah AS$343 juta.

Bencana alam telah menyebabkan 279 orang maut atau hilang di Vietnam dan mengakibatkan lebih AS$2 bilion kerosakan dari Januari hingga Oktober, menurut Pejabat Statistik Kebangsaan.

Vietnam sering mengalami hujan lebat antara Jun dan September, namun para saintis mendapati perubahan iklim yang didorong oleh manusia menyebabkan cuaca ekstrem menjadi lebih kerap dan mengakibatkan kerosakan.

Scroll to Top