
MANILA: Angka kematian akibat dua taufan kuat yang melanda Filipina baru-baru ini meningkat kepada 259 orang, dengan jutaan penduduk terpaksa berpindah, menurut laporan agensi berita Xinhua.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) dalam laporan berasingan turut memaklumkan, sekurang-kurangnya 27 maut, manakala dua lagi masih hilang akibat Taufan Fung-wong pada Ahad lalu.
Selain itu, agensi itu melaporkan, Taufan Kalmaegi pada 4 November lalu yang mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh mengorbankan 232 orang, 112 lagi hilang dan lebih 500 yang lain cedera.
Kebanyakan angka kematian, dilaporkan berlaku di wilayah Cebu yang turut terjejas susulan gempa bumi bermagnitud 6.9 pada 30 September lalu.
Kedua-dua ribut itu memaksa jutaan penduduk berpindah dan menyebabkan kemusnahan besar terhadap rumah, ladang serta infrastruktur penting termasuk jalan raya dan jambatan. – AGENSI

