
Oleh: Sharanjit Singh
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan siri lawatan rasmi dan kerja ke tiga negara Afrika iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap benua yang semakin penting dalam landskap global.
Lawatan Anwar bermula di Addis Ababa, ibu negara Ethiopia, sebuah negara bersejarah yang terkenal sebagai tanah kelahiran kopi dan pusat kebudayaan unik.
Ethiopia, yang menjadi tuan rumah Kesatuan Afrika (AU) dan Suruhanjayanya, merupakan antara ekonomi terbesar di benua itu dengan sektor perkhidmatan sebagai pemacu utama, manakala pertanian kekal penting sebagai sumber rezeki dan eksport.
Kunjungan ini mencatat sejarah tersendiri apabila Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjejakkan kaki di Ethiopia.
Pemangku Duta di Kedutaan Malaysia di Addis Ababa, Mohd Afandi Abu Bakar, berkata lawatan tersebut diadakan atas jemputan Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali, yang sebelum ini melawat Kuala Lumpur pada Oktober tahun lalu.
Pada pertemuan ketika itu, kedua-dua pemimpin berikrar mengukuhkan kerjasama dalam perdagangan, pertanian, industri dan perlombongan, di samping Malaysia menyatakan penghargaan atas sokongan Ethiopia dalam hasrat negara menjadi rakan BRICS.
“Ini adalah pertemuan bersejarah dan bermakna yang membuka ruang kepada hubungan dua hala lebih erat dan perbincangan berkaitan ekonomi serta pelaburan.
“Kedua-dua pemimpin akan mengadakan mesyuarat dan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan dan kesihatan,” katanya.
Anwar turut dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia, Taye Atske-Selassie Amde.
Menurut Afandi, lawatan ini merupakan deklarasi strategik yang menandakan kembalinya diplomasi Malaysia ke Afrika pada peringkat tertinggi.
Langkah itu turut diperkukuh dengan pembukaan semula Kedutaan Malaysia di Addis Ababa pada 23 September lalu, selepas ditutup sejak 1983 akibat pergolakan dalaman negara itu.
Selepas 42 tahun, pembukaan semula kedutaan menjadi pemangkin untuk meneroka peluang baharu dan meluaskan capaian diplomatik Malaysia di Afrika.
Ethiopia juga merupakan antara rakan dagang utama Malaysia di Afrika. Pada 2023, jumlah perdagangan dua hala bernilai RM446.8 juta dengan imbangan memihak kepada Malaysia.
Eksport utama Malaysia ke negara itu termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan bahan kimia, manakala syarikat Malaysia seperti PETRONAS pernah melabur dalam penerokaan minyak dan pengeluaran minyak makan di sana.
Selesai lawatan di Addis Ababa, Anwar dijadual berangkat ke Johannesburg pada 20 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sebelum meneruskan perjalanan ke Nairobi, Kenya pada 23 November dan pulang ke tanah air pada 24 November.
Lawatan ke tiga negara ini bertujuan menyegar semula kerjasama Malaysia–Afrika, sekali gus menzahirkan komitmen strategik Putrajaya terhadap sebuah benua yang dinamik, berkongsi sejarah pembangunan yang sukar serta aspirasi bersama ke arah masa depan yang lebih makmur.
Pertemuan Anwar di Addis Ababa, Johannesburg dan Nairobi akan berpaksi pada tiga tonggak strategik utama iaitu memperkasa agenda Selatan Global, membina ketahanan ekonomi yang adil dan memperdalam hubungan bersejarah serta kerjasama rakyat dengan rakyat.
Menurut kenyataan Putrajaya, Anwar berhasrat mengukuhkan peranan Malaysia sebagai suara penting dunia membangun, termasuk memperjuangkan tadbir urus ekonomi global yang lebih inklusif, kelestarian hutang bagi negara berpendapatan rendah dan keadilan iklim.
Dari segi ekonomi, Malaysia mahu memperluas perdagangan dan pelaburan berdasarkan prinsip perkongsian sejati dan saling menghormati, dengan fokus kepada kerjasama berimpak tinggi.
Ini termasuk memanfaatkan kepakaran Malaysia untuk menyokong keusahawanan serta pertumbuhan PKS Afrika, memudahkan pembangunan industri halal dan memperkukuh akses pasaran strategik — sambil menonjolkan Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN, manakala negara Afrika sebagai pintu masuk ke benua itu.
Lawatan ini juga meraikan hubungan sejarah mendalam, termasuk ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia dengan Ethiopia dan Kenya serta sejarah solidariti bersama Afrika Selatan dalam perjuangan menentang apartheid.
Ulang tahun ini menjadi platform untuk memperbaharui komitmen diplomatik serta memperkukuh kerjasama dalam sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan modal insan.
“Matlamat keseluruhan adalah memastikan hubungan ini kekal hangat, utuh dan responsif terhadap keperluan rakyat,” menurut kenyataan itu.

