Anwar duduki tangga ke-10 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat ke-10 dalam senarai The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2026, terbitan Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) yang bernaung di bawah Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt (RISSC), Amman, Jordan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, sebelum ini berada di kedudukan ke-15 pada tahun 2025 dan ke-17 pada 2024.

Beliau turut disenaraikan antara 50 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia, bersama-sama tokoh lain seperti Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani yang menduduki tempat pertama, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud (kelapan) dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto (15).

RISSC turut mencatatkan bahawa Anwar berada di tangga ketujuh dalam kategori pemimpin Islam dan ahli politik paling berpengaruh di dunia, naik daripada tempat kesembilan tahun lepas, mengatasi Prabowo (10) dan Presiden Mesir Abdel Fattah Saeed Al-Sisi (13).

Laporan tersebut menyorot perjalanan panjang beliau dari zaman mahasiswa di Universiti Malaya hingga dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada November 2022.

Penerbitan itu turut memetik peranan Anwar dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja selepas insiden pertempuran di sempadan, yang membantu mengukuhkan imej Malaysia sebagai pendamai serantau.

“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan tersebut.

Dalam isu genosid di Gaza, Anwar dikenali sebagai pemimpin yang lantang memperjuangkan hak Palestin dan mengecam kekejaman rejim Zionis.

Beliau juga secara terbuka mengkritik syarikat Meta kerana memadam hantaran takziah terhadap pemimpin Hamas yang terbunuh, menyifatkan tindakan itu sebagai pengecut dan menyeru agar syarikat tersebut tidak tunduk kepada tekanan Israel.

Penyenaraian ini mengiktiraf kepimpinan Anwar dalam memperjuangkan keadilan sosial, tadbir urus Islam yang progresif, serta komitmen terhadap keamanan serantau dan solidariti umat Islam di peringkat global.

Scroll to Top