
KUALA LUMPUR: ASEAN dan Republik Korea (ROK) bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pemindahan teknologi, kecerdasan buatan (AI), pertukaran maklumat serta keselamatan siber termasuk usaha menangani jenayah siber yang semakin meningkat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persetujuan itu dibuat menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN–ROK yang ingin mengukuhkan hubungan dua hala.
Katanya, hubungan itu kini dinaik taraf kepada perkongsian strategik komprehensif (CSP) untuk mengeratkan lagi hubungan diplomasi yang sudah terjalin selama 30 tahun.
“Perkara ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak dalam memperluas bidang kerjasama strategik demi kemakmuran dan kestabilan serantau.
“Hubungan ASEAN–Korea amat besar dan penting, kita mahu kerjasama ini terus dipertingkatkan, terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi digital yang dapat memberi manfaat kepada semua negara anggota ASEAN,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai permeteraian perjanjian baharu, Mohamad berkata, tiada perjanjian baharu ditandatangani semasa mesyuarat terbabit.
“Namun, kedua-dua pihak sudah mengeluarkan kenyataan bersama yang menggariskan beberapa langkah konkrit untuk memperkukuh pelaksanaan hasil keputusan di peringkat pemimpin negara.
“Walaupun tiada perjanjian baharu, kenyataan bersama yang dikeluarkan amat penting kerana ia menjadi panduan kepada pegawai pelaksana untuk meneruskan apa yang sudah diputuskan di peringkat ketua-ketua negara,” katanya.

