Bahasa Tamil, Iban Dan Kadazan Kini Dipaparkan Di Welcome Wall Menara KL

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (kiri) bergambar di dinding selamat datang Menara Kuala Lumpur yang mengunakan pelbagai bahasa. Terdapat 24 bahasa dipaparkan pada dinding sambutan menara berkenaan. – fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazan kini menjadi sebahagian daripada paparan 24 bahasa di Welcome Wall, Menara Kuala Lumpur (KL), kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata penambahbaikan itu dibuat selepas isu ketiadaan Bahasa Tamil mendapat perhatian umum pada awal bulan ini sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India dan media tempatan.

Susulan itu, Teo berkata tindakan segera telah diambil dengan menghubungi pihak pengurusan Menara KL bagi memastikan Bahasa Tamil dimasukkan selain mencadangkan agar Bahasa Iban dan Bahasa Kadazan turut dipaparkan sebagai pengiktirafan terhadap kepelbagaian bahasa di Malaysia.

“Cadangan teks bahasa-bahasa telah dimuktamadkan pada 11 Sept disusuli dengan pemasangan pada 28 Sept… hari ini kami datang untuk tengok hasil kerja pemasangan,” katanya pada sidang media di tapak Welcome Wall.

Beliau juga berkata paparan Bahasa Tamil pada Welcome Wall membawa makna yang cukup istimewa menjelang sambutan Hari Deepavali yang bakal dirai tidak lama lagi.

“Ini mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang menghargai semua kaum dan bahasa di negara ini. Saya percaya ia hadiah bermakna untuk masyarakat India sempena Deepavali,” katanya.

Teo turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Menara KL atas pelaksanaan penambahbaikan itu dalam tempoh yang singkat meskipun syarikat berkenaan hanya mengambil alih operasi pada April lepas.

Ahli Parlimen Klang V.Ganabatirau, yang turut hadir, mengucapkan terima kasih kepada Teo kerana membangkitkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan Menara KL dan mengganggap langkah itu sebagai satu pengiktirafan bermakna kepada masyarakat India di Malaysia.

Welcome Wall Menara KL mula dipasang pada November 2021 dengan menampilkan 21 bahasa dari seluruh dunia termasuk bahasa kebangsaan (Melayu), Inggeris, Mandarin, Jepun dan Arab. 

Namun, ketiadaan Bahasa Tamil mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India selepas isu itu dibangkitkan oleh Ganabatirau dan menjadi tular di media sosial. 

Berikutan itu, pihak berkuasa termasuk Teo memberi jaminan bahawa Bahasa Tamil akan segera ditambah dan pihak pengurusan Menara KL diminta mempercepatkan proses tersebut.

— BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top