
BANGKOK: Banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Thailand mengorbankan 13 nyawa, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Banjir setinggi paras pinggang itu, menenggelamkan bandar pelancongan Hat Yai dan kawasan sekitarnya, menyebabkan ramai terperangkap di rumah serta hotel.
Kerajaan mengisytiharkan darurat di wilayah Songkhla, sementara jabatan meteorologi meramalkan hujan lebih lebat dan kemungkinan banjir kilat minggu ini.
Rakaman televisyen tempatan baru-baru ini menunjukkan pasukan penyelamat di Hat Yai memindahkan penduduk menggunakan bot, jet ski dan lori tentera di tengah-tengah air banjir yang tinggi.
Sesetengah penduduk menggunakan kolam renang kanak-kanak tiup untuk membawa anak-anak mereka ke tempat selamat.
Seorang wanita berkata, dia terperangkap selama empat hari bersama bayi dan ibunya.
“Saya memutuskan untuk keluar kerana saya mempunyai bayi dan takut air akan naik lebih tinggi,” katanya kepada stesen TV tempatan TNN semalam.
Wanita itu, anaknya dan ibunya yang terlantar berjaya dipindahkan menggunakan bot.

Menurut Jabatan Perhubungan Awam Wilayah berkenaan, lebih 1,200 orang penduduk dipindahkan dari rumah mereka di Songkhla sejak Khamis.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata bahawa lebih banyak bot dan lori akan dikerahkan bagi membantu usaha pemindahan.
Pakar berkata, Thailand biasanya mencatat hujan lebat dari bulan Jun hingga September, tetapi perubahan iklim kerana manusia mengakibatkan cuaca melampau, menjadikan keadaan semakin tidak menentu.

