Banjir Hatyai: Lebih 2,000 rakyat Malaysia sudah kembali ke tanah air

Foto NST

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Kira-kira 2,000 rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, Thailand berjaya dibawa keluar dan telah selamat pulang ke tanah air susulan insiden banjir di kawasan itu.

Konsul Jeneral di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, peluang itu diambil ketika paras air di kawasan sekitar mulai surut, petang semalam.

“Ramai dah keluar, pihak konsul pun berjaya bantu ramai (mangsa terkandas) untuk mengambil mereka dari hotel dan menghantar mereka pulang ke malaysia.

“Tapi masih ramai lagi yang pilih untuk tinggal, mereka beranggapan air sudah surut, keadaan akan jadi normal,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.

Beliau turut menasihatkan mana-mana individu yang masih terkandas untuk kekal berada di lokasi sehingga bantuan tiba.

Ia ekoran hujan lebat yang kembali melanda semalam, mengakibatkan paras air meningkat semula, sekaligus mampu mendatangkan risiko sekiranya mereka meredah air banjir.

Menurut Fahmi, pihaknya juga sedang berusaha bersama pihak berkuasa tempatan untuk menghulurkan bantuan, khususnya dalam bentuk makanan.

Beliau tidak menafikan terdapat sesetengah pihak yang terkandas masih belum menerima apa-apa bantuan berikutan faktor kesukaran akses di kawasan terlibat.

“Ada yang terputus makanan, memang tak dinafikan ada di sesetengah tempat, bantuan makanan pun tak dapat diberikan sebab keadaan nak masuk ke kawasan tu agak berbahaya, arus deras dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Setakat ini, usaha membawa pulang baki beberapa rakyat Malaysia yang masih terkandas masih giat dijalankan.

Scroll to Top