Bantu mangsa banjir: Mobilisasi aset, bantuan wang ehsan disegerakan – Ahmad Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meninjau keadaan mangsa banjir di PPS sekitar daerah Bagan Datuk.

Oleh: Kumaran Rajamoney

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan tindakan kecemasan pelbagai agensi digerakkan sepenuhnya bagi membantu mangsa banjir mengikut keperluan setempat.

Di Bagan Datuk, antara cabaran utama ketika ini, katanya, ialah kejadian paip besar pecah yang mengganggu bekalan air bersih ke pusat pemindahan sementara (PPS), selain keperluan memindahkan sebahagian mangsa ke fasiliti lebih sesuai.

“Lembaga Air Perak sudah diminta menghantar lori tangki ke PPS terlibat bagi memastikan mangsa, khususnya keluarga dengan anak kecil, menerima bekalan air mencukupi tanpa perlu menggunakan kaedah mengangkut air secara manual.

“Sebanyak 12 pam kekal dan 11 pam bergerak sedang beroperasi di kawasan terjejas, selain arahan diberikan supaya semua pam tambahan milik agensi negeri, daerah serta jabatan teknikal seperti JKR digerakkan sepenuhnya tanpa menunggu giliran atau disimpan sebagai ‘stok kecemasan’,” katanya selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS sekitar daerah ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meninjau keadaan mangsa banjir di PPS sekitar daerah Bagan Datuk.

Ahmad Zahid turut mengarahkan supaya bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir disalurkan lebih awal walaupun mereka masih berada di PPS.

“Mereka perlukan wang segera. Walaupun bantuan itu tidak mencukupi untuk mengganti semua kerosakan, kerajaan tetap menyalurkan apa yang mampu untuk meringankan beban,” katanya.

Mengulas trend banjir kali ini yang turut menjejaskan kawasan tidak pernah terlibat sebelum ini, Ahmad Zahid turut menyuarakan kebimbangan berhubung kemungkinan gelombang kedua dan ketiga.

Justeru, beliau mengarahkan kesiapsiagaan dipertingkat mengikut Pelan Kesiapsiagaan Bencana Kebangsaan.

Amaran awal daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), katanya, menjadi faktor penting yang membantu pemindahan awal mangsa di kawasan hotspot seluruh negara.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir seluruh negara menurun kepada sekitar 12,000 orang, berbanding 30,000 orang pada puncak kejadian sebelum ini.

Scroll to Top