Bapa didakwa abai anak jatuh lubang pembetung

Mahkamah

Oleh: Mohd Roji Kawi

KUCHING: Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sibu hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya hingga menyebabkan mangsa lemas selepas terjatuh ke dalam lubang pembetung tidak bertutup di Jalan Dr Wong Soon Kai, Sibu, Ogos lalu.

Tertuduh, Ling Hoe Hock, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut pertuduhan, Hoe Hock didakwa mengabaikan anaknya, Ethan Ling, 2, dengan meninggalkan mangsa tanpa pengawasan sehingga kanak-kanak itu terjatuh ke dalam lubang pembetung sekitar jam 6.20 petang pada 4 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, atau penjara hingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Cynthia Emmelda Jerry, mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin tempatan berikutan risiko tertuduh melarikan diri.

Namun, peguam bela Jessie Wong memohon jumlah ikat jamin minimum RM1,000 dengan alasan anak guamnya hadir secara sukarela ke mahkamah.

Wong juga menyatakan bahawa tertuduh kini tidak bekerja, menjaga tiga orang anak, dan isterinya yang sebelum ini bekerja di Singapura telah berhenti kerja dan kini menganggur.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM7,000, dengan RM5,000 perlu didepositkan bersama dua penjamin tempatan serta menetapkan 30 Oktober depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Pada 4 Ogos lalu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan maut selepas terjatuh ke dalam lubang pembetung yang dipercayai tidak bertutup akibat dicuri.

Pasukan Bomba Sibu yang tiba di lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan, berjaya menemui mayat mangsa terapung di dalam pembetung itu kira-kira jam 7 malam.

Scroll to Top