Jenayah
Oleh: Asrol Awang
KUANTAN: Bekas pengurus kilang mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai kakitangan hospital swasta dan anggota polis yang mendakwanya terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan pembelian senjata api.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, wanita berusia 59 tahun itu menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai kakitangan hospital swasta yang mendakwa mangsa membuat tuntutan insurans pada 23 Mei lalu.
Menurutnya, panggilan itu kemudian disambungkan secara panggilan video dengan individu yang menyamar sebagai anggota polis berpangkat sarjan.
“Suspek mendakwa mangsa terbabit dalam urusan jual beli akaun bank yang digunakan untuk kegiatan pengubahan wang haram serta pembelian senjata api.
“Mangsa diugut bahawa waran tangkap akan dikeluarkan sekiranya gagal memberikan kerjasama dan diarah menyediakan wang jaminan berjumlah RM378,500.
“Mangsa kemudian memindahkan wang simpanan ke satu akaun bank miliknya sendiri sebelum menyerahkan maklumat perbankan kepada suspek kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yahaya berkata, bagi tempoh 1 hingga 9 Ogos lalu, mangsa membuat lima transaksi pindahan wang seperti diarahkan.
Menurutnya, mangsa mendapati wang simpanannya hanya berbaki RM109.78 apabila membuat semakan pada 27 Ogos lalu.
“Mangsa menyedari ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan berjumlah RM150,000 lalu membuat laporan polis, semalam. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.