Belanjawan 2026 Sarawak: Peruntukan RM12.9 bilion pacu pembangunan negeri

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. FOTO: NSTP

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Peruntukan RM12.9 bilion bagi Belanjawan 2026 Sarawak merupakan yang terbesar direkodkan berbanding sebelum ini selain menjadi agenda utama dalam pembangunan negeri untuk tempoh jangka masa panjang.

Daripada jumlah itu, RM7.3 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM5.6 bilion disalurkan kepada pembangunan yang merangkumi projek strategik merentasi infrastruktur, digital dan tenaga masa depan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan belanjawan itu berkata, tumpuan terhadap pembangunan berskala besar penting bagi menjamin kesinambungan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, meskipun hasil negeri 2025 dijangka menyusut susulan harga minyak mentah yang rendah, Sarawak masih berupaya mengekalkan belanjawan melalui pengurusan fiskal berhemah dan usaha mempelbagaikan sumber pendapatan termasuk Cukai Jualan Negeri (CSST), dividen serta hasil air mentah.

“Belanjawan Sarawak 2026 kekal sebagai belanjawan strategik dan mengembang, dibina atas kejayaan kejuruteraan semula hasil dan pengurusan kewangan berhemat.

“Ia membolehkan kita membuat pelaburan berani dalam infrastruktur, transformasi digital dan pembangunan mampan, sambil meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching.

Beliau berkata,  Belanjawan Sarawak 2026 itu turut menumpukan projek jalan luar bandar, pembinaan sekolah dan fasiliti pendidikan baharu, peluasan liputan digital serta pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga boleh baharu.

Di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan kejatuhan harga komoditi, Sarawak tetap mengekalkan lebihan belanjawan berjumlah RM144 juta, mencerminkan asas fiskal yang kukuh dan keberkesanan dasar hasil yang lebih pelbagai.

Kerajaan negeri yakin peruntukan besar berkenaan akan terus melonjakkan pembangunan jangka panjang Sarawak, sekali gus mempercepat integrasi ekonomi luar bandar–bandar dan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.

Scroll to Top