Sukan

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Pasukan HomeBois Black Shrew Esports (HBSE) memulakan kempen Kejohanan Antarabangsa Honor Of Kings (KIC 2025) dengan kemenangan bergaya selepas mengatasi pasukan Elevate dari Filipina dengan kemenangan 3-0.
HBSE dibarisi Wong Yit Siang (GuiYu), Chan Tat Yann (MusangKing), Lim Chee Hong (Zhihong), Low Li Zhe (Zhe) dan Xu Siwei (VV) nyata berada dalam kelas tersendiri sejak dari ‘game’ pertama lagi.
Hanya 8 minit masa diperlukan HBSE untuk mengunci mta pertama selepas aksi cemerlang yang disajikan MusangKing yang menggunakan hero ‘Nezha’.

‘Game’ kedua, dominasi terus disajikan HBSE dengan MusangKing terus menjadi pemusnah dengan hero ‘Jing’, kali ini masa kurang 10 minit diambil untuk kedudukan semasa 2-0.
Usaha pasukan Elevate untuk memberikan cabaran kepada HBSE pada ‘game’ ketiga juga tidak menjadi.
Sebaliknya, permainan cukup kemas ditampilkan HBSE dengan ZhiHong yang mengawal hero ‘Gan & Mo’ menjadi watak utama sebelum permainan di tutup tepat 10 minit.
Kemenangan 3-0 yang diraih menyaksikan HBSE kini melangkah ke peringkat final ‘upper bracket’ kumpulan B, menanti pemenang antara pasukan Alpha7 Esports dan Bigetron By Vitality untuk layak ke peringkat ‘knockout’.

Selain HBSE, cabaran Malaysia turut dibawa dua pasukan lagi iaitu Nova Esports dan juga Alpha Gaming.
Saingan yang berlangsung di Filipina ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$1 juta.
Untuk rekod, HBSE merupakan juara bertahan KIC dengan Malaysia tampil mendominasi menerusi penamat empat terbaik dengan Nova dan Team Secret menghuni kedudukan ketiga dan keempat.

