BNM gesa institusi kewangan utamakan Bahasa Melayu kepada pengguna

Nasional

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan institusi-institusi kewangan mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu dalam menzahirkan maklumat produk kepada pengguna.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, institusi kewangan juga digalakkan untuk menggunakan laras bahasa yang mudah supaya rakyat dapat berinteraksi dengan lebih berkesan dan yakin.

“Kecemerlangan sesebuah negara tidak hanya bergantung pada faktor ekonomi sahaja.

“Sebuah negara maju juga boleh ditakrifkan sebagai negara yang berpegang teguh pada identiti iaitu bahasa dan budaya, tanpa dikikis atau hanyut di bawah arus pemodenan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Abdul Rasheed turut menekankan, kepentingan berpaut pada bahasa pertiwi iaitu Bahasa Melayu yang setia menjadi wahana pemikiran, budaya dan warisan tanah air.

BNM turut memberi tumpuan kepada usaha literasi kewangan yang menggariskan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan adalah kritikal.

“Oleh sebab inilah kami menitikberatkan kepentingan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan kewangan melalui garis panduan ketelusan dan penzahiran produk,” katanya lagi.

Dengan kerjasama erat bersama Dewan Bahasa dan Pustaka serta rakan-rakan strategik lain, BNM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan bahasa kebangsaan.

Salah satu usaha tersebut ialah sistem penarafan bintang iaitu sebuah program yang dimulakan pada 2016 dengan tujuan untuk menjalankan audit bahasa ke atas institusi kewangan.

Ini selain mengadakan inisiatif yang seringkali mendapat sambutan menggalakkan daripada sekutu kewangan iaitu pertandingan Pidato Piala Gabenor.

Scroll to Top