BUDI95: Buat Laporan Jika Berlaku Manipulasi Meter Pam

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan (tengah) membuat tinjauan harga sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 berkuatkuasa hari ini hingga 22 Okt 2025 di AEON Big Seberang Jaya.

BUTTERWORTH, 16 Okt (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang meminta orang ramai membuat laporan sekiranya berlaku manipulasi meter pam oleh pengendali stesen minyak bagi program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata langkah itu penting bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan diambil jika benar perkara itu berlaku, berbanding menularkan dakwaan tersebut di media sosial.

“Jika ada apa-apa masalah berkaitan BUDI95, laporkan kepada KPDN kerana kita ada saluran rasmi yang boleh digunakan. Tindakan menularkan di media sosial tidak membantu menyelesaikan masalah. 

“Setakat ini, kita tidak menerima aduan (lain) mengenai program BUDI95 sejak dilaksanakan kecuali satu aduan berkaitan masalah teknikal yang disebabkan kesilapan individu dan telah diselesaikan,” katanya.

Jegan berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata bukan mudah untuk menukar atau menyeleweng mekanisme meter pam minyak di stesen dan jumlah subsidi diberikan bagi pelaksanaan BUDI95 juga telah ditetapkan.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan beberapa pengguna bahawa isian petrol berkurangan daripada kebiasaan selepas pelaksanaan BUDI95.

Pada Sabtu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Ali dilaporkan berkata KPDN akan mengambil tindakan jika terdapat aduan ketirisan subsidi BUDI95, yang telah diperluaskan kepada semua rakyat Malaysia pada 30 Sept. 

Beliau berkata pemantauan rapi dilaksanakan melalui sistem masa nyata antara KPDN dan Kementerian Kewangan yang membolehkan trend pembelian di stesen minyak dipantau secara langsung.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top