BUDI95: E-hailing 600 liter sebulan, lebih 1,400 pengguna bot Sarawak layak

KUALA LUMPUR: Lebih 53,900 pemandu e-hailing sepenuh masa akan menerima kenaikan siling kelayakan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada 600 liter sebulan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, langkah menaikkan siling pengunaan sekali ganda itu dilakukan selepas pihak kementerian melakukan semakan silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Bagi pemandu e-hailing sepenuh masa, MoF telah menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), melibatkan lebih 53,900 individu yang akan menerima kenaikan siling kelayakan kepada 600 liter sebulan,” katanya.

Tambahnya, BUDI95 juga kini diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak, selepas mengaktifkan kelayakan kepada pengguna bot di Sabah dan mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) minggu lalu.

“Berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengaktifkan kelayakan BUDI95 kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di negeri tersebut,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima BUDI95.

“Mereka terdiri daripada pemandu yang baru mendapat lesen (11,200) dan pemandu yang telah memperbaharui lesen (260), menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia menerima manfaat BUDI95,” jelasnya.

Mof berkata, penambahbaikan secara berperingkat itu dilakukan Kerajaan MADANI, bagi memastikan sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus memberi manfaat secara menyeluruh.

Ujarnya Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut. Portal ini turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna,” katanya.

Scroll to Top