Buli IKBN Miri: Tujuh Pelajar Digantung Pengajian Seminggu – Hannah

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) — Tujuh pelajar yang terlibat dalam kes buli seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak digantung pengajian selama seminggu bermula semalam, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN semalam yang diadakan bagi membincangkan tindakan sewajarnya terhadap semua pelajar berkenaan.

“Jawatankuasa Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN Miri sebulat suara membuat keputusan untuk mengenakan beberapa tindakan tatatertib lain kepada pelajar terlibat termasuk pemberian elaun diberhentikan serta-merta dan perlu melaksanakan kerja amal, lapor diri secara berkala dengan pegawai disiplin dan tahan ‘outing’ untuk tempoh sebulan.

“Pelajar terlibat dan mangsa perlu mengikuti sesi kaunseling yang diaturkan oleh IKBN Miri,” katanya pada sidang media berhubung siasatan kes buli IKBN Miri, di sini hari ini.

Menurut Hannah, langkah tegas itu diambil sebagai mesej jelas bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku termasuk buli yang menjejaskan keselamatan pelajar dan mencemarkan nama baik institusi pendidikan.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 13 saat tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan lelaki mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang hingga terkena tiang.

Susulan itu, semalam Hannah dilaporkan berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menghantar dua pegawai tertinggi termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Chan Hong Jin ke IKBN Miri bagi melakukan siasatan bebas antaranya menyoal siasat pelajar terlibat dalam kejadian tersebut.

Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Hannah berkata Unit Hal Ehwal Pelajar dan tenaga pengajar IKBN Miri akan mempertingkat pemantauan, mengatur sesi kaunseling dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) selain melaksanakan program pencegahan bersama pihak polis.

Beliau berkata unit berkenaan akan mengadakan taklimat dan ceramah mengenai buli yang akan disampaikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada setiap suku tahun serta kemudahan peti aduan diperluas bagi memudahkan pelajar menyalurkan aduan atau cadangan penambahbaikan dengan kadar segera.

“Keputusan ini diambil bagi memastikan ia menjadi penghalang kepada kes (buli) dan tiada ruang bagi perkara sebegini berlaku lagi. Kita nak hantar mesej yang serius sebab kalau tidak ambil tindakan nanti akan ada banyak lagi aduan yang akan guna justifikasi gurauan sahaja,” katanya.

Ditanya sama ada KBS akan berkongsi pengalaman dalam menyelesaikan kes itu, Hannah berkata pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia melakukan perkara itu memandangkan kes buli turut berlaku di tempat kerja.

“Saya juga telah berkongsi perkembangan kes ini kepada Jemaah Menteri semalam. Sepertimana kita tahu, prosedur operasi standard (SOP) mengatasi kes buli secara menyeluruh memang sedang diteliti dan sentiasa ada perbincangan antara beberapa menteri dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar),” katanya.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top