
Oleh: Nor Fazlina Abdul Rahim
TUMPAT: Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh sepupunya dengan menetak mangsa dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah, di sini, Jumaat lalu.
Tertuduh, Hamizi Hamzah, 45, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afhan Mohamad Azmi, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian kepada Mohd Shuhairi Hasim, 46.
Perbuatan itu dilakukan jam 11.20 malam di sebuah rumah di Kampung Kok Bedollah Tumpat pada Jumaat lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazuha Ismail dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 28 Januari sebagai sebutan semula kes.
Di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Tumpat pada Sabtu lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut dengan kaki kanan serta tangan kiri putus selepas disyaki ditetak sepupunya dalam kejadian di Kampung Kok Bedullah di sini.
Mangsa yang bekerja sebagai pemandu jentolak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie dilaporkan berkata, dendam lama berkaitan isu tanah pusaka dan video tular anak suspek yang disunting dalam keadaan tidak senonoh dipercayai menjadi punca kejadian tetak terbabit.

