
Oleh: Amirul Fazli Zulkafli
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan peruntukan dana RM15 juta daripada kerajaan adalah secara khusus digunakan oleh Harimau Malaya dalam mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 sahaja.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, apa-apa perbelanjaan selain daripada itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menggunakan dana sendiri sementara KBS dan pihak berwajib akan terus memantau dari semasa ke semasa agar tidak berlaku kepincangan.
“Peruntukan RM15 juta diberikan kerajaan untuk kegunaan pasukan kebangsaan sahaja, khusus bagi kempen Piala Asia. Ia peruntukan yang sangat spesifik untuk tujuan itu.
“Dana ini dipantau sepenuhnya. Ia disalurkan kepada FAM, dan laporan perbelanjaan akan dikemukakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN). Pemantauan turut dilakukan oleh KBS serta Kementerian Kewangan (MOF).
“Saya difahamkan kos rayuan ke CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan) akan ditanggung oleh Pemangku Sultan Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Kos bagi rayuan di FIFA bukan daripada dana RM15 juta itu,” katanya dalam sidang media di KBS, Putrajaya.
Untuk makluman, tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan RM15 juta kepada FAM untuk kegunaan pasukan Malaysia dan daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukan kerajaan melalui Kementerian Kewangan manakala RM5 juta adalah komitmen daripada pihak swasta.
Rabu lalu, Tunku Ismail tampil menyatakan menanggung sepenuhnya semua kos berkaitan kes membabitkan FAM dan tujuh pemain warisan yang akan dibawa ke CAS sebagai tanda sokongan terhadap usaha mendapatkan keadilan buat pemain yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Sebelum ini, FAM mengesahkan akan membawa kes itu ke CAS selepas rayuan terhadap keputusan FIFA ditolak baru-baru ini, sekali gus membuka peluang terakhir bagi mendapatkan pembelaan.

