Diarra teruja sertai Selangor

Sukan

Foto Selangor FC

Oleh: Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Selangor FC mengumumkan kehadiran tonggak pertahanan tengah baharu, Mamadou Diarra kurang dua jam sebelum skuad itu menghadapi Persib Bandung dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Malah, pemain dari Senegal itu turut disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika Gergasi Merah membawa misi wajib menang berdepan Persib Bandung untuk membuka peluang mereka ke pusingan kalah mati ACL2.

Mengaku teruja menjadi sebahagian daripada kelab gergasi Lembah Klang itu, Diarra menjelaskan bahawa ini kali pertama dia datang ke Asia selepas bermain di Perancis dan Turki.

“Jurulatih ada bercakap dengan saya mengenai pasukan dan rancangannya, membuatkan saya lebih bersemangat untuk bersama Gergasi Merah. Saya yakin kami akan bersama-sama bekerja keras sebagai satu pasukan untuk mencapai sasaran kelab.

“Saya akan berikan yang terbaik untuk mengatur dan berikan kata-kata semangat kepada rakan sepasukan dari belakang, di samping menambah karakter yang menarik dalam pasukan,” katanya.

Diarra memulakan kariernya bersama pasukan muda ASC Jaraaf iaitu salah satu kelab terkemuka Senegal yang mana menjadi tempat dia mengembangkan bakat sebagai pemain pertahanan.

Bagi peringkat antarabangsa, Diarra mewakili pasukan bawah 20 (B-20) tahun Senegal B-20 pada tahun 2017 dan memperoleh 10 penampilan merentasi Piala Negara-Negara B-20 Afrika serta Piala Dunia B-20 dengan dia juga berperanan sebagai kapten pasukan.

Pemain berusia 28 tahun itu menghabiskan sebahagian besar kerjaya profesional awalnya di Turki apabila bermain untuk Boluspor, Bursaspor dan Giresunspor dari musim 2016 hingga 2022.

Pada September 2022, Diarra berpindah ke Perancis untuk menyertai Grenoble Foot 38 dalam Ligue 2 selama tiga musim dan sepanjang bersama kelab itu, dia berjaya membuat 87 penampilan dan menjaringkan empat gol.

Scroll to Top