Dua lagi rakan suspek curi sawit diberkas di Saratok

Salah seorang suspek yang ditahan selepas disyaki terlibat kes curi buah sawit di Ladang Salcra, Lubok Renit, Jalan Temudok, Saratok, Sarawak.

Oleh: Kadir Edison

SARATOK: Dua lelaki yang disyaki rakan sejenayah kegiatan curi buah sawit di Ladang Salcra, Lubok Renit, Jalan Temudok di sini, akhirnya diberkas polis pada Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 33 tahun itu ditahan susulan siasatan lanjut ke atas penangkapan seorang lelaki pada hari sebelumnya, yang dikesan melarikan diri menaiki sebuah Toyota Hilux ketika rondaan dilakukan pihak ladang.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, berkata serbuan dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok di dua lokasi berasingan sekitar Saratok.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie

“Hasil maklumat suspek yang ditangkap sebelum ini, polis berjaya menahan dua lagi lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti mencuri sawit milik Salcra.

“Kedua-duanya turut mengaku menjual hasil curian itu dan wang diperoleh digunakan untuk membeli bekalan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebatang tombak sawit turut dirampas dalam serbuan terbabit.

Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai empat rekod lampau, manakala seorang lagi tidak memiliki rekod jenayah namun kedua-duanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine melalui ujian saringan awal air kencing.

“Kes kini dianggap selesai selepas semua suspek berjaya ditangkap,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Scroll to Top