IPOH, 17 Nov (Bernama) — Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam kes curi kabel di persimpangan lampu isyarat Jalan Kamunting-Batu Kurau, berhampiran Kolej Vokasional Taiping, semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata suspek berusia 24 tahun dan 34 tahun itu diberkas pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dalam satu operasi susulan tular video berkaitan kejadian tersebut di media sosial.
“Hasil semakan turut mendapati kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau masing-masing 10 dan satu rekod, dengan kebanyakan membabitkan kes curi kabel di sekitar daerah ini.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton berwarna hitam yang dipercayai digunakan ketika melakukan kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman empat hari bagi siasatan lanjut.
Mohamad Nasir berkata tangkapan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan IPD Taiping membanteras kegiatan curi kabel yang menyebabkan kerugian harta benda dan menjejaskan kemudahan awam.
“Penduduk setempat diminta untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membolehkan tindakan segera diambil sekali gus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Sebelum ini, tindakan pantas seorang remaja menyalurkan maklumat kepada polis berjaya membawa kepada penahanan empat lelaki disyaki terbabit dalam cubaan mencuri kabel di Jalan Kamunting-Batu Kurau, berhampiran Kolej Vokasional Taiping pada 14 Nov lepas.
Bertindak atas maklumat tersebut, polis berjaya menahan empat suspek yang sedang leka membuka penutup lubang kabel di lokasi berkenaan.
–BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

