Dua Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Letupan Mercun Di Kulim

ALOR SETAR, 20 Okt (Bernama) — Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes letupan mercun yang berlaku sempena sambutan Deepavali di Kulim semalam, sehingga menyebabkan 22 individu cedera.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Zulkifli Azizan berkata pihaknya menahan dua lelaki itu di Taman Senangin dan Paya Besar, dekat Kulim hari ini, berdasarkan rakaman video berdurasi 22 saat berhubung kejadian itu yang tular di media sosial.

“Suspek pertama berusia 34 tahun beralamat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, bekerja sebagai khidmat pelanggan dan mempunyai satu rekod jenayah lampau. Suspek kedua berusia 23 tahun beralamat di Jalan Paya Besar, Lunas, seorang pembantu kedai juga mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek sedang lepak bersama dengan beberapa rakan lain di kawasan kejadian. Suspek pertama yang dalam keadaan mabuk membeli mercun jenis ‘kelapa’ di sebuah khemah menjual bahan letupan itu pada harga RM200,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata suspek kemudiannya memasukkan mercun itu ke dalam sebuah silinder yang tersedia di tepi jalan dan pada waktu itu rakan-rakan lain dan orang ramai yang lalu turut menyaksikan pertunjukan mercun di situ.

“Selepas itu, suspek kedua telah membakar mercun berkenaan tetapi ia tidak naik dan meletup di bawah disyaki kerana suspek pertama telah memasangnya secara terbalik berikutan berada dalam keadaan mabuk.

“Akibat letupan itu, 22 mangsa yang berada di situ cedera termasuk seorang mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, iaitu retak tengkorak bahagian dahi dan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Zulkifli berkata setakat ini, 10 mangsa sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan.

“Penjual mercun juga telah dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah malam tadi, seramai 22 orang cedera susulan letupan mercun sempena sambutan Deepavali di tepi Jalan Paya Besar, dekat Kulim.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top