Dua makmal haram diserbu, dadah bernilai RM17.77 juta dirampas

Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media kejayaan membongkar sindiket dadah di Johor. – Foto NSTP

Oleh: Izz Laily Hussein

KULAI: Polis membongkar operasi dua makmal haram dadah dengan keupayaan memproses sehingga 100,000 tablet erimin 5 sehari, hasil beberapa serbuan di sekitar kawasan perindustrian Senai, di sini, minggu lalu.

Dalam serbuan itu, sejumlah empat tan dadah dianggar bernilai RM17.77 juta dirampas, rampasan terbesar dilakukan di Johor untuk tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, kegiatan sindiket terbongkar susulan kebakaran yang berlaku membabitkan sebuah kilang pada petang 14 September lalu, yang berjaya dipadamkan pihak bomba.

Beliau berkata, anggota dari Balai Polis Senai yang turut hadir ke lokasi mengesyaki kilang berkenaan adalah tempat memproses dadah.

Pada jam 5 petang, katanya JSJN Johor dan daerah Kulai menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap kilang terbabit dan mendapati ia dijadikan sebagai makmal memproses dadah.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu dulang besi bersama 14 bekas plastik berisi serbuk disyaki erimin 5 seberat 75 kilogram (kg); satu kotak bersama tiga bekas plastik disyaki pil sama seberat 24.69kg serta tiga dulang besi bersama 16 plastik dan dua kotak berisi prekursor seberat 79.016kg.

“Turut ditemui 11 tong berisi cecair prekursor seberat 1,827kg dan pelbagai peralatan termasuk mesin yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya ketika sidang media hari ini.

Susulan penemuan itu, Hussein berkata polis melakukan pemeriksaan di sebuah rumah dekat Bandar Seri Alam di Johor Bahru dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun.

“Satu lagi serbuan dilakukan di sebuah kilang di kawasan Desa Idaman, Senai dengan pelbagai jenis dadah dirampas termasuk 10 botol berisi cecair disyaki methamphetamine seberat 250kg; 20kg plastik lutsinar berisi serbuk ketamin dan dua guni bersama 24 botol plastik berisi serbuk prekursor (bahan penimbul reaksi kimia) seberat 74kg.

“Kita juga merampas 89 botol plastik berisi cecair prekursor seberat 1,685kg dengan pelbagai peralatan memproses dadah… semua dadah ini jika terlepas ke pasaran boleh merosakkan 1.8 juta orang yang menggunakannya,” katanya.

Hussein berkata, dalam operasi sama, polis merampas tiga kereta dan sebuah lori dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM17.93 juta.

Pada masa sama, katanya, polis sedang mengesan tiga lagi individu lain warga tempatan yang mana seorang daripadanya dipercayai dalang sindiket berkenaan.

Mengenai suspek yang ditahan, katanya polis percaya mereka bertindak sebagai ‘transporter’ yang menerima dan menghantar parcel dalam bongkah kotak kayu ke kilang.

“Sindiket dipercayai aktif sejak awal Februari lalu, namun kilang berkenaan sudah disewa sejak 2023 dan didaftarkan sebagai kilang produk teknologi, namun disalahgunakan.

“Sumber dadah ditemui masih dalam siasatan, namun dipercayai untuk pasaran tempatan dan juga untuk dieksport ke negara jiran,” katanya.

Semua suspek kini direman selama 12 hari sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Scroll to Top