LONDON: Bryan Mbeumo dijangka mengalami emosi bercampur-baur jika berjaya menjaringkan gol ketika kunjungan semula ke Stadium Komuniti GTech buat kali pertama bersama Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam esok.
Tidak akan ada sorakan besar daripada penyokong tuan rumah jika ia berlaku, namun tiada juga rasa dendam yang mendalam.
Penyerang yang pernah bergandingan mantap dengan Yoane Wissa itu menyertai United Julai lalu dengan nilai £65 juta (RM366 juta) dan sudah menjaringkan satu gol dalam liga.
Berbeza dengan Wissa, yang berpindah ke Newcastle United selepas pertelingkahan panjang dengan Brentford sambil berkempen secara terbuka untuk dilepaskan, Mbeumo meninggalkan London barat dengan penuh bermaruah dan masih dirasai kasih sayang peminat.
Dia menjaringkan 70 gol dalam 242 penampilan sepanjang enam tahun bersama Brentford dan menghasilkan video perpisahan khas sebagai penghargaan kepada penyokong ketika berpisah.
“Sudah tiba masanya untuk pergi. Terima kasih Brentford untuk segala-galanya, selamanya. Saya akan sentiasa sayang anda semua dan merindui anda,” katanya ketika itu, perasaan yang mungkin dibalas penyokong apabila dia melangkah kembali ke tengah padang.
Namun, tiada hadiah bakal diberi pada perlawanan sepak mula awal itu, dengan Brentford kini sekadar berada di tangga ke-17, satu anak tangga di atas zon penyingkiran, manakala Manchester United pula di kedudukan ke-11 selepas permulaan kempen yang terumbang-ambing.
United menewaskan Chelsea 2-1 di Old Trafford hujung minggu lalu, kemenangan kedua mereka musim ini, tetapi masih gagal menang dua perlawanan liga berturut-turut sejak Mei tahun lalu dan belum menang di tempat lawan musim ini.
Brentford pula pernah menang dua daripada tiga pertemuan terakhir di laman sendiri menentang United, walaupun kini dibimbing jurulatih baharu, Keith Andrews selepas Thomas Frank berpindah ke Tottenham Hotspur. – AGENSI