
Oleh: Syazwan Msar
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman digantung tugas serta-merta susulan siasatan membabitkan FIFA berhubung status tujuh pemain kacukan Harimau Malaya.
Tindakan tegas itu disahkan sendiri Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundram yang memaklumkan penggantungan berkuat kuasa hari ini pada sidang media khas yang berlangsung di Wisma FAM, hari ini.
“Berhubung kes FIFA, Setiausaha Agung FAM digantung berkuat kuasa hari ini,” katanya.
Difahamkan, langkah berani itu diambil selepas badan induk bola sepak negara menerima maklumat rasmi daripada pihak antarabangsa mengenai kemungkinan berlaku pelanggaran terhadap peraturan dokumentasi pemain.
Siasatan yang kini turut mendapat perhatian FIFA itu memaksa FAM bertindak segera bagi memastikan proses dijalankan secara telus tanpa sebarang pengaruh dalaman.
Sebelum itu, FIFA mengambil tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain kacukan berikutan beberapa dokumen dikatakan menimbulkan kekeliruan hingga mendorong FIFA meminta penjelasan lanjut daripada FAM berhubung kesahihan status pemain terbabit.
Sebelum ini, FIFA mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Mengikut rekod, Noor Azman yang dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada September 2022 menggantikan Mohd Saifuddin Abu Bakar.

