Fasilitator direman 7 hari, disyaki cabul 4 murid

Mahkamah

Oleh: Zuhainy Zulkiffli

BALIK PULAU: Fasilitator sebuah akademi ditahan polis kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap empat murid lelaki berusia 12 tahun sebuah pusat latihan di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian berlaku pada jam 4.30 pagi di bilik asrama lelaki pusat latihan berkenaan, Ahad lalu.

Beliau berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sungai Petani, Kedah semalam selepas laporan dibuat guru besar pada hari sama.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, hari ini.

Mengulas lanjut Sazalee berkata, kesemua mangsa adalah murid di sebuah sekolah rendah di Perak yang menghadiri sebuah program di pusat latihan berkenaan selama dua hari.

“Mangsa menyedari disentuh pada awal pagi hari kejadian sebelum memaklumkan kepada guru pengiring,” katanya lagi.

Difahamkan, lelaki berkenaan turut menghantar pesanan mesej perkataan yang tidak wajar dan berbaur gangguan seksual sehingga mengganggu emosi dua daripada mangsa.

Suspek adalah fasilitator akademi secara sambilan turut dikenali sebagai komander dan ustaz di pusat latihan berkenaan.

Scroll to Top