FBMK UPM mampu jadi makmal naratif negara

Oleh: Muhd Izawan Baharin

SERDANG: Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) mempunyai peranan strategik melahirkan generasi yang bukan sahaja fasih berbahasa tetapi mahir memimpin perbincangan dan pemikiran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, landskap media sekarang sudah berubah sepenuhnya dengan media sosial menjadikan rakyat bukan sahaja penerima, tetapi penerbit dan pengaruh.

Justeru katanya, naratif awam dibentuk melalui perbincangan pelbagai pihak atau desentralisasi membabitkan kerajaan, media komersial, pencipta kandungan malah individu yang konsisten dan dipercayai.

“Di sinilah juga komunikasi politik menjadi kunci. Pemimpin dan parti di seluruh dunia menggunakan strategi kandungan, penyasaran mikro, tindak balas pantas, dan rangkaian pempengaruh untuk memenangi minda sebelum rakyat melangkah ke peti undi. Hakikatnya, jika kita gagal menguasai media sosial, kita boleh tewas dalam pilihan raya walaupun mempunyai pencapaian dasar yang baik.

“Di sini, FBMK boleh memainkan peranan untuk melatih jurucakap, menguji bingkai komunikasi dasar, dan membimbing generasi yang bukan sahaja fasih berbahasa, tetapi juga mahir memimpin wacana,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Kilauan Mutiara FBMK di UPM, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Dekan FBMK, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dengan kepakaran komunikasi, bahasa, dan penyelidikan, FBMK boleh menjadi makmal naratif negara.

“Itulah nilai PhD (Ijazah Doktor Falsafah) yang saya bawa dengan memahami bagaimana naratif terbentuk di akhbar semalam, agar kita lebih cekap mencorak naratif di skrin hari ini,” katanya.

Beliau yang juga alumni FBMK berkata, fasa menyambung pengajian di peringkat PhD paling mencabar kerana beliau ketika itu seorang menteri.

“Setiap hari saya berhadapan dengan mesyuarat Kabinet, urusan rakyat, dan tanggungjawab rasmi negara.

“Namun dalam kesibukan itu, saya tetap kembali ke kampus, menyiapkan tugasan, menulis bab-bab tesis, dan memperbaiki semula penulisan apabila ditegur oleh panel penilai.

“Proses itu mengambil masa tujuh tahun dan Alhamdulillah, pada Konvokesyen UPM ke-32, tahun 2008, saya berdiri bersama 176 graduan lain, menerima ijazah Kedoktoran dalam bidang Komunikasi,” katanya.

Scroll to Top