Oleh: Fareez Azman
SERI ISKANDAR: Malaysia tidak boleh sekadar menjadi penonton, sebaliknya perlu tampil sebagai pencipta naratif baharu dalam bidang inovasi dan idea di peringkat Asia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penglibatan lebih ramai pencipta inovasi daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mampu mengangkat martabat negara ke tahap lebih tinggi dalam arena global.
“Malaysia tidak boleh sekadar menjadi penonton arus pemikiran dunia. Kita mesti menjadi pencipta naratif baharu, naratif Asia yang berakar pada nilai, berjiwa insani dan berpaksikan kemanusiaan sejagat.
“Kita sudah membuktikannya. Lebih 1,000 warga UiTM Perak pernah turun membantu membina semula Acheh pascatsunami lebih dua dekad lalu. Itulah bukti bahawa bangsa ini bukan hanya berfikir, tetapi juga menggerakkan idea menjadi amal yang mengubah dunia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Festival of Idea Perak 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta kepimpinan tertinggi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Tambahnya, Malaysia telah membuktikan kemampuan dalam bidang inovasi apabila beberapa syarikat tempatan berjaya menembusi pasaran dunia dengan idea baharu yang bernilai tinggi.
Antaranya Carsome dan ALPS Global Holding, yang kini bernilai berbilion dolar Amerika di rantau ASEAN dan pasaran NASDAQ.
Menurutnya, Festival of Idea anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadi platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pencipta.
“Festival Idea mesti melampaui acara tahunan dan menjadi gerakan sepanjang tahun. Kita mahu sekolah, universiti dan komuniti desa sama-sama menjadi sebahagian daripada Gelombang Idea Nasional.
“Namun, jangan sesekali anggap kejayaan itu sebagai penamat. Idea yang ditanam di Putrajaya mesti merebak ke seluruh negara.
“Saya mahu setiap negeri, termasuk Perak, menjadi medan baharu Festival Idea Nasional agar gelombang pemikiran, kreativiti dan inovasi tidak terhenti di ibu kota, tetapi bergema hingga ke desa dan kampung,” ujarnya.