Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Kesemua sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) akan menjalani saringan kesihatan, sebelum berlepas pulang ke tanah air lewat malam ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pihaknya akan bersama aktivis terbabit bagi memastikan proses pemeriksaan kesihatan berjalan lancar di klinik berdekatan.
“Kami telah bertemu dengan semua peserta misi dari Malaysia bersama Duta Besar Malaysia ke Republik Turkiye, Sazali Mustafa Kamal di tempat penginapan mereka di Istanbul dan semuanya berada dalam keadaan baik.
“Mereka akan dibawa ke klinik kesihatan terdekat bagi menjalani saringan fizikal dan mental, dan MyCARE akan turut membantu proses berkenaan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3, hari ini.
Menurutnya, penerbangan pulang dijadualkan berlepas lewat malam ini dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Ahad.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pesawat membawa kesemua rakyat Malaysia itu dijadual berlepas sekitar jam 6.25 petang waktu Istanbul dan tiba di KLIA pada jam 3.55 petang waktu Malaysia.
Sembilan aktivis terbabit termasuk seorang wartawan dilaporkan selamat tiba di Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Mereka terdiri daripada Prof Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Maziah Muhammad, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar serta wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Sebelum ini, peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) memaklumkan, menerima laporan mengenai tindakan kekerasan dan agresif oleh pihak rejim terhadap aktivis semasa serta selepas pemintasan haram kapal FFC-TMTG yang membawa bekalan bantuan ke Gaza.