Foto Tular Konvoi Trump Curi Tumpuan, Raih Pujian Terhadap Lebuh Raya Malaysia – Nanta

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berucap di Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan & Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) merasmikan Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan & Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) — Gambar konvoi kenderaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melalui lebuh raya di Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini telah tular di media sosial, sekali gus menarik pujian meluas terhadap kelancaran, kebersihan dan keindahan infrastruktur negara.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata gambar tersebut yang dimuat naik Setiausaha Akhbar Presiden itu, telah ditonton oleh jutaan orang di seluruh dunia.

“Hantaran ringkas itu, yang disaksikan jutaan penonton di seluruh dunia, mengingatkan dunia dan juga kita sendiri, bahawa Malaysia telah membina sesuatu yang luar biasa.

“Ia mengingatkan kita bahawa kerja keras, inovasi dan disiplin kita dalam pembangunan infrastruktur bukanlah tidak diketahui masyarakat antarabangsa. Namun yang lebih penting, ia menjadi dorongan untuk kita terus memperbaiki pencapaian ini.

“Kita berbangga dengan apa yang telah kita capai, tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu berani untuk berfikir semula, melakukan pembaharuan dan memperkukuh usaha sedia ada. Ini kerana penyelenggaraan bukan sekadar mengenai jalan raya, tetapi juga melibatkan maruah negara, keselamatan, serta kesiapsiagaan masa depan,” katanya.

Nanta berkata demikian berucap di Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan & Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Beliau berkata rangkaian jalan raya Malaysia kini lebih 260,000 kilometer dan negara boleh berbangga kerana merupakan jalan raya diselenggara paling baik di rantau ASEAN.

“Pencapaian ini dibina hasil komitmen berdekad-dekad oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta syarikat konsesi lebuh raya, berteraskan dasar-dasar berwawasan Kementerian Kerja Raya (KKR),” katanya.

Nanta turut berkata bahawa kementeriannya telah memperkenalkan MyJalan, sebuah platform penyertaan rakyat pada peringkat nasional yang memberi kuasa kepada orang awam untuk turut sama memastikan jalan raya negara sentiasa dalam keadaan baik.

“Sejak dilancarkan, puluhan ribu aduan telah dilaporkan dan diselesaikan, membuktikan bahawa apabila teknologi digabungkan dengan penglibatan rakyat, kesannya mampu dilihat secara menyeluruh.

“Lebih daripada sekadar platform mudah alih, MyJalan melambangkan budaya tanggungjawab bersama, mencerminkan kepercayaan kita bahawa penyelenggaraan jalan bukan hanya tanggungjawab agensi kerajaan, tetapi satu usaha nasional yang perlu digembleng bersama,” katanya.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top