Geng curi kabel MRT diburu polis

Nasional

Oleh: Noor Hidayah Tanzizi

KUALA LUMPUR: Polis sedang giat mengesan kumpulan suspek dipercayai terbabit kejadian menceroboh dan mencuri kabel komunikasi serta sistem semboyan di portal Transit Aliran Massa (MRT) Taman Desa di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dilakukan.

Menurutnya, pihaknya percaya kejadian itu dilakukan secara berkumpulan.

“Pihak polis masih mengesan suspek terbabit. Kita juga percaya kerja itu bukan kerja berseorangan dan ia dipercayai dilakukan secara berkumpulan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu juga boleh menyalurkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan lanjut.

Sabtu lalu media melaporkan, polis mengesahkan berlaku kejadian pencerobohan di portal MRT Taman Desa selepas pagar kawasan berkenaan dipercayai dipotong dan ditinggalkan dalam keadaan terbuka.

Chang Hook dilaporkan berkata, kejadian itu dilaporkan oleh Polis Bantuan MRT Putrajaya Line Sungai Besi jam 12.41 tengah hari dan pemeriksaan lanjut menemui kabel komunikasi milik MRT yang dilonggokkan berhampiran tiang Pier 0373.

Terdahulu Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali rel Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, insiden kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan disyaki menjadi punca gangguan operasi tren di Laluan Putrajaya, di sini.

Ia sekali gus menjejaskan perjalanan penumpang dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral.

Scroll to Top