
Oleh: Muhamaad Razis Ismail
PUTRAJAYA: Misi membawa pulang jemaah terakhir Malaysia bagi musim haji 1446H/ 2025M yang lima bulan terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Saudi German, Makkah akibat pneumonia akhirnya berjaya disempurnakan hari ini.
Pesawat khas yang membawa Asmah Mansor, 71, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada 4.30 pagi (waktu tempatan) dengan ditemani seorang doktor dan jururawat, selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 8.15 malam.
Asmah kemudian dibawa menaiki ambulans terus ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.
Lebih manis, ketibaan Asmah disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar; Pengerusi Tabung Haji Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan ahli keluarganya.
Mohd Na’im ketika ditemui berkata, kejayaan membawa pulang jemaah terakhir itu menjadi simbol solidariti rakyat Malaysia yang sama-sama menghulurkan bantuan bagi memastikan warga emas berkenaan dapat kembali ke tanah air dengan selamat.
“Penerbangan berjalan lancar dan pesakit berada dalam keadaan baik. Saya sempat bertemu dengan Hajah Asmah, dan sebaik dia nampak saya, dia menangis.
“Saya sempat berpesan kepadanya supaya berehat dengan tenang. Di sini, anak-anak dan keluarganya boleh melawat dengan lebih mudah.
“Insya-Allah kita doakan dia akan kembali dengan pulih semula,” katanya.
Menurutnya, Asmah kini ditempatkan di ICU kerana masih bergantung kepada sokongan bantuan pernafasan.
“Yang penting sekarang, beliau sudah berada di Malaysia. Anak-anaknya juga berada dekat untuk menjaga dan memberi sokongan. Insya-Allah dengan rawatan rapi, Hajah Asmah akan kembali pulih,” katanya.
Mohd Na’im merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menyumbang di Tabung Musa’adah bagi menampung kos membawa pulang Asmah dan mendoakan penyumbang diberikan ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT.
Beliau turut berterima kasih kepada pengurusan serta pihak Arab Saudi khususnya Hospital Saudi German atas kerjasama dan pengurusan yang membantu memudahkan proses membawa pulang Asmah.
“Penghargaan turut diberikan kepada media yang memainkan peranan penting memberi liputan dan laporan berterusan, membuka ruang kepada lebih ramai rakyat Malaysia tampil menghulurkan sumbangan sehingga misi itu berhasil,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan misi membawa pulang Asmah yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Saudi German di Makkah sudah dimulakan selepas sumbangan diterima menerusi Tabung Musa’adah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia bagi membiayai kos itu mencukupi.
Mohd Na’im dilaporkan berkata, kira-kira RM500,000 diperlukan bagi membawa pulang Asmah yang dirawat di hospital terbabit sejak 13 September.

