Sukan

SEPANG: Pelumba wildcard Moto3 negara, Hakim Danish Ramli membuktikan keupayaannya bersaing di pentas dunia apabila layak secara automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2) selepas mencatat masa ke-11 terpantas dalam sesi Latihan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Beraksi bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSI, pelumba berusia 18 tahun itu mencatat masa 2 minit 11.820 saat (s), hanya 0.668s di belakang pelumba Red Bull KTM Ajo, Jose Antonio Rueda yang muncul pelumba terpantas dengan catatan 2:11.152s.
Rakan sepasukan Rueda, Alvaro Carpe melakukan catatan kedua terpantas, manakala juara Red Bull Rookies Cup musim ini yang juga pesaing Hakim Danish, Brian Uriarte mencatatkan masa ketiga terpantas.
Hakim turut menunjukkan prestasi memberangsangkan pada sesi latihan pertama pagi tadi apabila melakukan catatan masa kelapan terpantas dengan 2:11.317s, sekali gus mengekalkan momentum positif menjelang sesi kelayakan esok.
“Saya sendiri tak jangka dapat keputusan seperti ini. Setiap pusingan, setiap sesi saya hanya fokus dan terus berusaha untuk kekal berada di kedudukan paling terbaik,” katanya selepas sesi latihan.
Mengulas persiapan menghadapi Q2, Hakim berkata dia akan berusaha memperbaiki catatan masa bagi memastikan kedudukan terbaik di grid perlumbaan.

