Hamas komited tamatkan perang di Gaza

Foto AFP

PALESTIN: Seorang pegawai kanan Hamas pada Ahad berkata kumpulan itu amat komited untuk mencapai persetujuan bagi menamatkan perang dan melaksanakan pertukaran tahanan dengan Israel, ketika perantara kedua-dua pihak berkumpul di Mesir bagi menghadiri rundingan.

Perantara dari Israel dan Hamas dijadualkan bertemu dalam rundingan di Mesir untuk memperincikan butiran usaha menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza, selepas Hamas menerima pelan damai yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurut pegawai itu yang enggan dikenali kerana tidak dibenarkan bercakap secara rasmi, delegasi Hamas dari Doha dijangka tiba di Kaherah pada Ahad sebelum ke Sharm el-Sheikh untuk menyertai rundingan tidak langsung bersama delegasi Israel.

“Hamas sangat komited untuk mencapai persetujuan menamatkan perang dan segera memulakan proses pertukaran tahanan selaras dengan keadaan semasa di lapangan.

“Penjajahan tidak seharusnya menghalang pelaksanaan pelan Presiden Trump. Jika penjajah benar-benar berhasrat mencapai perjanjian, Hamas bersedia,” katanya.

Satu sumber Palestin yang rapat dengan Hamas memberitahu AFP kedua-dua delegasi akan berada dalam bangunan yang sama namun rundingan akan dijalankan secara tertutup tanpa liputan media.

“Rundingan ini bertujuan membincangkan garis masa dan persiapan keadaan di lapangan bagi pemindahan tebusan yang ditahan di Gaza, sebagai langkah awal kepada proses pertukaran tahanan,” katanya.

Sumber itu turut berkata dalam komunikasi dengan pihak perantara, Hamas menegaskan keperluan supaya Israel menghentikan semua operasi ketenteraan di seluruh Semenanjung Gaza, termasuk serangan udara, aktiviti pengintipan dan dron, serta berundur dari bandar Gaza.

“Seiring dengan penghentian operasi ketenteraan Israel, Hamas dan semua kumpulan juga akan menghentikan operasi ketenteraan mereka,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, rundingan dijangka turut membincangkan peta yang akan disediakan oleh Israel, menunjukkan laluan dan garis masa pengunduran yang akan dijalankan serentak dengan proses pertukaran tahanan.

Delegasi Hamas juga akan mengemukakan senarai banduan Palestin yang mesti dibebaskan oleh Israel sebagai balasan kepada pembebasan tebusan warga Israel.

Menurut pelan yang dikemukakan oleh Trump, Israel dijangka membebaskan 250 banduan Palestin yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, serta lebih 1,700 tahanan dari Semenanjung Gaza yang ditangkap selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan peperangan yang masih berlarutan hingga kini. – AFP

Scroll to Top