Hampir 900,000 warga asing di Malaysia tidak lagi layak dapat subsidi RON95

Nasional

Oleh: Zanariah Abd Mutalib

PUTRAJAYA: Hampir 900,000 warga asing di negara ini yang memegang Lesen Memandu Malaysia (LLM) kini tidak lagi dapat menikmati subsidi petrol RON95, selepas pelaksanaan sepenuhnya program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula hari ini.

Kementerian Pengangkutan (MoT) memaklumkan pemegang LLM bertaraf bukan warganegara berjumlah 878,279 orang termasuk 18,710 yang mempunyai taraf penduduk tetap.

“Mereka ini layak memohon lesen memandu tetapi bukan bertaraf warganegara. Kumpulan ini tidak akan layak mendapat subsidi minyak.

“Ini bermakna, selama ini kerajaan kita memberikan subsidi kepada hampir 900,000 orang warga asing, yang sudah tentu mempunyai lesen memandu dan membeli kereta di Malaysia. Mereka juga dapat subsidi.

“Itu sebabnya, dasar kita melalui BUDI95 ini bersasar. Kita hanya akan beri kepada warganegara Malaysia.

“Bagi yang bukan warganegara, mereka perlu membayar RM2.60 (harga tanpa subsidi) dan daripada itulah, kita akan jimat berbilion ringgit,” kata MoT.

Mulai hari ini, kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI95.

Semua rakyat yang layak menerima siling bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan. Penetapan berkenaan adalah berdasarkan dapatan kajian oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).

Scroll to Top