
Oleh: Fahmi Tajuddin, Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, menegaskan hubungan erat antara Korea Selatan dan ASEAN diibaratkan sebagai “jiran seperti keluarga” yang bersama-sama mengharungi pelbagai cabaran getir.
Lee berkata, hubungan kedua-dua pihak bukan sekadar kerjasama diplomatik, sebaliknya sudah berakar sebagai ikatan kemanusiaan yang saling bergantung dan menyokong antara satu sama lain.
“Korea dan ASEAN telah berdiri bersama serta mengharungi pelbagai cabaran daripada krisis kewangan, pandemik hingga bencana alam dan kita berjaya mengatasinya bersama.
“Hubungan ini mencerminkan semangat ‘jiran seperti keluarga’,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Republik Korea–ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, Lee turut menyorot pertumbuhan pesat hubungan dua hala, termasuk lebih 10 juta rakyat Korea yang melawat negara ASEAN setiap tahun serta pelaburan bernilai lebih AS$8.5 bilion dalam bentuk bantuan pembangunan rasmi (ODA) bagi menyokong masa depan rantau berkenaan.
Dalam masa sama, beliau membentangkan tiga visi dasar Korea Selatan terhadap ASEAN selaras dengan ASEAN Community Vision 2045: menjadikan Korea sebagai penyumbang kepada impian ASEAN; pemangkin pertumbuhan dan inovasi bagi mencapai perdagangan tahunan AS$300 bilion; serta rakan bagi keamanan dan kestabilan serantau melalui kerjasama menangani jenayah rentas sempadan, keselamatan maritim dan pencegahan bencana.
Selain itu, Lee turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah terancang seperti pusat penipuan dalam talian yang menjerat golongan muda di sempadan negara ASEAN.
Sebagai langkah tindak balas, Lee memaklumkan bahawa Korea Selatan, melalui Agensi Polis Kebangsaan, akan memperkukuh kerjasama dengan ASEANAPOL bagi membanteras rangkaian jenayah rentas sempadan serta mempertingkatkan kerjasama kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang di peringkat serantau.
“Saya berharap perbincangan hari ini akan membuka hala tuju baharu bagaimana Korea dan ASEAN dapat bersama-sama mengemudi perubahan dunia serta membentuk masa depan kerjasama kita,” katanya.

