Identiti ‘Detektif Misteri’ Di Depan Louvre Terbongkar – Remaja 15 Tahun Dari Paris

Gambar fail: Polis forensik berada di Muzium Louvre selepas menerima laporan mengenai kejadian rompakan, di Paris, Perancis, 19 Oktober 2025. REUTERS/Gonzalo Fuentes

PARIS, 10 Nov (Bernama-dpa) — Misteri mengenai foto seorang remaja lelaki berpakaian kemas yang disangka detektif selepas rompakan bernilai jutaan euro di muzium Louvre, Paris akhirnya terungkai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Remaja terbabit merupakan seorang pelajar berusia 15 tahun dari pinggir Paris yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan siasatan dan ketika itu hanya mahu melawat muzium terkenal bersama ibunya, menurut laporan majalah Jerman Der Spiegel dan agensi berita Associated Press (AP) yang merakam foto itu.

Remaja itu yang dikenali sebagai Pedro Elias Garzon Delvaux, tidak menyedari dirinya dirakam ketika berdiri berhampiran pegawai polis di hadapan muzium berkenaan semasa kekecohan selepas kejadian rompakan.

Sambil mengenakan topi elegan, sut tiga lapis dan kot panjang, penampilannya membuatkan ramai pengguna internet menyangka dia seorang detektif sebenar.

Selain menerima pujian atas gayanya, pelbagai spekulasi mengenai identiti remaja itu turut tular di media sosial.

Seorang pengguna X menulis: “Detektif Perancis di lokasi rompakan permata di Louvre ini kelihatan “paling detektif” antara semua detektif yang pernah saya lihat.”

Garzon Delvaux mengakui terhibur membaca pelbagai teori lucu tentang dirinya.

“Seronok juga orang sangka saya detektif,” katanya kepada Der Spiegel.

Remaja itu menjelaskan pakaian yang digayakan pada hari itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana dia memang gemar berpakaian klasik.

Der Spiegel menemui Garzon Delvaux melalui akaun Instagram peribadinya, di mana remaja itu sering memuat naik gambar bergaya ala era 1940-an.

Identitinya kemudiannya disahkan oleh Associated Press pada Ahad.

Garzon Delvaux berkata dia akan terus memuat naik foto di laman itu, namun belum mempunyai rancangan tertentu untuk memanfaatkan “15 minit kemasyhuran” yang dikecapinya.

— BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

 KATA KUNCI

 BERITA BERKAITAN

 LAGI BERITA

Scroll to Top